mutakhir

Kalau belum ajal

Oleh Mohammad Ishak

PEMANDU yang membawa lori sarat dengan muatan simen terselamat, manakala pembantunya cedera apabila kenderaan itu terbalik di Kampung Gong Nering, Jertih, pagi ini.

Pemandu, Mohd Khairul Mahmod, 34, dari Dungun dan tidak cedera, manakala Mohamad Faiz, 29, cedera dan dirawat di Hospital Besut.

Kejadian berlaku pada 5.15 pagi apabila lori dipandu Mohd Khairul dalam perjalanan dari Kuantan ke Kota Bharu terbabas dan melanggar pembahagi jalan, lalu terbalik.

Mohd Khairul berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia tidak nampak pembahagi jalan kerana gelap dan terus melanggarnya.

Katanya, disebabkan lori yang sarat dengan muatan simen, dia tidak sempat mengelak kerana berat.

"Saya bersyukur walaupun lori terbalik dan rosak teruk tetapi masih terselamat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 12:28pm
d