mutakhir

Tiga perompak restoran 'mamak' diarah bela diri

Oleh Sarah Zulkifli

MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya, hari ini memerintahkan tiga lelaki membela diri atas dua pertuduhan merompak seorang pekerja restoran nasi kandar dan pelanggan restoran itu membabitkan kerugian RM36,650, dua tahun lalu.

Hakim Azwarnida Affandi membuat keputusan itu terhadap pelajar kolej Muhammad Eddy Adha Anwar, 25, pekerja pusat cucian kereta Muhammad Amirul Shazwan Ismail, 23, dan penghantar alat ganti kenderaan Ahmad Sabirin Mohd Yusoff, 24, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

“Selepas meneliti keterangan saksi pendakwaan, mahkamah berpuas hati pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie ke atas ketiga-tiga tertuduh dan mereka diperintahkan untuk membela diri terhadap kedua-dua pertuduhan,” katanya.

Dalam prosiding sama, ketiga-tiga tertuduh turut memberikan keterangan secara bersumpah di dalam kandang tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Mei ini untuk hujahan dan keputusan akhir pembelaan.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu sebelum ini mengaku tidak bersalah bersama-sama merompak Bhabes Chandra, 25, pekerja restoran warga India, dengan mengacukan tiga bilah parang yang boleh menyebabkan kematian atau cedera parah serta melarikan barangan bernilai RM35, 650.

Mereka turut didakwa merompak seorang pelanggan lelaki, 27, juga dengan mengacukan tiga bilah parang serta melarikan sebuah komputer riba, permainan mudah alih PlayStation Portable (PSP) dan wang tunai RM1,000.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Restoran Nasi Kandar Pokok Kelapa, Jalan PJS 2/16A, Taman Maju Jaya, Petaling Jaya pada 4.30 pagi, 7 Mac 2016.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazalina Razali.

Seramai lapan saksi pendakwaan dipanggil memberikan keterangan sepanjang prosiding perbicaraan bermula 26 Julai 2017.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, pekerja restoran itu didatangi tiga lelaki bersenjatakan parang sebelum dirompak oleh ketiga-tiganya.

Ketika itu, pelanggan lain yang ada di restoran melarikan diri, namun seorang pelanggan yang berada di bahagian luar hanya duduk sebelum dia turut dirompak ketiga-tiga lelaki berkenaan.

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 5:28pm
d