mutakhir

Suami isteri didenda ugut malukan wanita

Oleh Sarah Zulkifli

SUAMI isteri didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini selepas masing-masing mengaku bersalah mengugut mahu memalukan wanita dipercayai kekasih lelaki itu di padang Taman Sri Manja, Petaling Jaya pada November lalu.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap R Rajendran dan T Jasmeet Kaur, kedua-duanya berusia 25 tahun selepas mahkamah menerima pengakuan bersalah mereka sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Turut dijatuhi hukuman sama, rakan pasangan itu, K Karthik, 25, yang mengaku bersalah memukul wanita berkenaan menggunakan sebatang besi.

Mahkamah memerintahkan ketiga-tiganya menjalani hukuman penjara empat bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan dihadapi Rajendran yang juga pemandu lori dan isterinya didakwa melakukan ugutan jenayah dan menakutkan mangsa, 25, di lokasi kejadian antara 10 malam hingga 10.10 malam, 12 November 2017.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Manakala Karthik pula didakwa mendatangkan kecederaan ke atas mangsa sama dengan menggunakan sebatang besi di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, peguam Muhamad Syazwan Hasan yang mewakili kesemua tertuduh memohon hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya sudah insaf dan kesal dengan kesalahan dilakukan serta sudah memohon maaf kepada mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee, bagaimanapun memohon hukuman penjara dikenakan dengan mengambil kira kecederaan yang dialami oleh pengadu serta kepentingan awam.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Jasmeet menghubungi mangsa untuk berjumpa kerana dia mengesyaki mangsa mempunyai hubungan dengan suaminya.

Namun, apabila sampai di tempat kejadian, berlaku salah faham antara mangsa dan kesemua tertuduh iaitu pasangan suami isteri itu mengugut untuk memalukan mangsa dan secara tiba-tiba rakannya mengambil sebatang besi dan memukul di bahagian peha mangsa sehingga lebam.

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 6:15pm
d