mutakhir

Jejambat motosikal siap Jun ini

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

LALUAN dan jejambat motosikal di Lebuhraya Persekutuan yang kini siap 82 peratus pembinaan, dijangka dibuka kepada penunggang motosikal, selewat-lewatnya awal Jun ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata laluan dan jejambat sepanjang 60 meter itu membabitkan dua arah iaitu dari Shah Alam ke Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur ke Shah Alam.

Katanya, kawasan itu dipilih berikutan banjir yang kerap berlaku di situ sehingga menjejaskan keselesaan pengguna.

“Penunggang motosikal terpaksa keluar ke Lebuh Raya Persekutuan, yang khusus untuk kenderaan lain dan ini sangat berbahaya.

“Oleh itu, kita membina jejambat ini dan berharap ia bukan saja memudahkan penunggang, malah memberi keselesaan dan meningkatkan keselamatan penunggang motosikal.

“Pembinaan kemudahan dengan kos RM29 juta ini diharap memberikan manfaat kepada kira-kira 15,000 penunggang motosikal yang melalui jalan itu setiap hari,” katanya selepas melakukan lawatan mengejut ke tapak projek itu, hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit di tapak projek itu dan mendengar taklimat daripada Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Petaling, Abdul Latif Shariff.

Fadillah berkata, pembinaan itu siap agak lewat berbanding tarikh asal 10 April ini berikutan masalah lalu lintas dan utiliti, termasuk pengalihan jalan bagi memastikan kemudahan itu tidak menyebabkan kesesakan berlebihan di lebuh raya itu.

Beliau berkata, kemudahan itu membuktikan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam menyediakan kemudahan kepada rakyat.

“Pada 2016, saya menaiki motosikal dan menggunakan laluan motosikal di sepanjang Lebuh Raya Persekutuan ini. Saya mendapati memang ada masalah, termasuk pencahayaan dan jalan berlubang. Kita serta- merta mendapat peruntukan RM500,000 untuk perbaiki jalan.

“Perkara ini kita bawa kepada perhatian Perdana Menteri dan Perdana Menteri meluluskan pembinaan jalan serta jejambat menerusi Bajet 2017. Ini janji PM yang ditepati,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 10:49pm
d