mutakhir

Johari selami keperluan rakyat [METROTV]

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

BEKERJASAMA dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat, termasuk persatuan penduduk, serta mengelak kempen mencaci lawan menjadi senjata Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyelami keperluan dan permasalahan rakyat.

Beliau berkata, perjumpaan dan perbincangan dengan NGO setempat amat penting bagi menyelami permasalahan dihadapi pengundi atau masyarakat di sesuatu kawasan.

Johari berkata, Parlimen Titiwangsa mempunyai 61,000 pengundi pelbagai latar belakang, termasuk kalangan profesional dan berpendidikan tinggi seperti ahli perniagaan, pedagang, pensyarah dan guru, dengan pelbagai keperluan yang perlu dipenuhi.

“Setiap kawasan, demografi penduduknya berbeza. Bagaimana hendak bekerjasama dan meyakinkan mereka?

“Untuk itu, saya mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan persatuan penduduk dalam menyantuni rakyat.

“Alhamdulillah, dalam masa lima tahun, saya berpeluang bertemu masyarakat di hampir semua kawasan penempatan mengetahui masalah mereka,” katanya pada sidang media di Majlis Santai Mesra Bersama Anggota RELA Wilayah Persekutuan di Dewan Komuniti Command Centre Barisan Nasional, di sini, hari ini.

Johari yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata, beliau berpegang pada prinsip untuk tidak bercakap buruk mengenai orang lain, sebaliknya menyatakan kejayaan kerajaan dan usaha untuk memajukan masyarakat serta negara.

Selepas itu, katanya, terpulang kepada rakyat untuk membuat penelitian dan pemilihan terhadap calon yang bertanding.

Namun, beliau menyeru pengundi supaya bijak memilih wakil rakyat tanpa dipengaruhi emosi dan sentimen, serta berita di media sosial yang tidak dipastikan kesahihannya.

“Saya mohon kepada pengundi, jangan guna emosi dan sentimen sehingga boleh sampai tahap tidak bijak.

“Perlu lihat ruang lingkup lebih besar. Kesannya lima tahun akan datang sebab bukan boleh tukar wakil rakyat tiap minggu atau tahun jika wakil rakyat dipilih tidak menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.

Sementara itu, Johari yakin mampu mempertahankan kerusi Titiwangsa berdasarkan khidmat yang dilakukan dalam tempoh lima tahun ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mengambil mudah kelebihan dua calon pembangkang yang bertanding di kerusi berkenaan.

“Saya tidak pernah berdepan keadaan seperti ini iaitu pertandingan tiga penjuru, jadi sukar untuk buat jangkaan.

“Tapi saya cukup yakin selama lima tahun berkhidmat, saya mampu pertahankan dan terpulang kepada pengundi untuk buat pilihan.

“Dalam politik, sengit atau tidak, sukar nak dijangka. Menteri besar pun boleh kalah, oleh itu siapa pun lawan, ,jangan ambil mudah,” katanya.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad dan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Rina Harun diumum bertanding bagi kerusi Parlimen Titiwangsa.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 12:40am
d