mutakhir

Ketua AMK Kapar keluar parti cabar Azmin [METROTV]

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

Gombak: Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Kapar, Ahmad Kamarudin akan mencabar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan keluar parti berkuat kuasa semalam serta menyertai Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan bertanding menggunakan tiket parti berkenaan.

Katanya, beliau yang berjuang bersama PKR sejak lebih 20 tahun lalu hilang kepercayaan kepada parti yang gagal membela rakyat dan bersekongkol dengan musuh.

Beliau berkata, sejarah penubuhan PKR adalah untuk menentang Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini memperalatkan parti itu untuk kepentingan sendiri.

“Jika dulu kita memperjuangkan slogan antiMahathir, kini mengagungkan pemimpin itu dengan melaungkan Hidup Mahathir.

“Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga terlalu lemah untuk mentadbir parti dan Azmin mengambil kesempatan atas kekurangan itu,” katanya di Bukit Antarabangsa di sini, semalam.

Turut hadir Presiden PRM, Ariffin Salimon yang turut mengesahkan parti itu akan mencalonkan Ahmad di DUN Bukit Antarabangsa.

Mengenai keputusan mencabar Azmin di DUN Bukit Antarabangsa, beliau berkata, kerosakan Selangor bermula di kawasan itu dan ia perlu diperbetulkan demi kepentingan rakyat.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 3:19am
d