mutakhir

Niaga satu dunia

Oleh Mohamed Farid Noh

Batu Pahat: Kira-kira 1,000 pengunjung terdiri ahli korporat, usahawan serta penuntut universiti menghadiri Simposium Usahawan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia 2018 (MSAM 2018) di Stadium Batu Pahat, semalam.

Simposium anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) mendapat kerjasama Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (EDC of Johor).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, Simposium Usahawan MSAM memasuki esidi ke-12 dan mula dianjurkan pada MSAM 2007.

“Lebih 6,000 peserta terutama usahawan muda dan wanita mendapat manfaat penganjuran simposium ini yang menggunakan tema ‘Kepimpinan dan Keusahawanan: Yang Mana Satu Penentu Kelangsungan Perniagaan’.

“Ia selaras dengan aspirasi PNB dalam memberi pendidikan pelaburan dan kewangan bersepadu yang inklusif kepada semua golongan terutama usahawan tempatan,” katanya ketika merasmikan simposium, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Avana, Luqman Adris yang juga panel dalam sesi Usahawan Muda Industri e-Dagang, menyarankan belia merebut peluang memulakan perniagaan secara dalam talian.

“Jika sekarang masih menjual produk di tepi rumah hanya jiran setempat yang tahu, namun jika menggunakan e-Dagang, pasaran akan dapat diperluas sehingga satu dunia, sekali gus meningkatkan permintaan dan pendapatan.

“Tidak semestinya usahawan perlu pandai Teknologi Maklumat (IT) untuk berniaga dalam talian kerana boleh dipelajari dan dilatih apatah lagi kewujudan syarikat pembangunan aplikasi dan penyenggaraan e-Dagang seperti Avana dapat membantu memberi latihan dan bengkel kepada usahawan.

“Malah Avana bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) dalam membangunkan usahawan mikro ke usahawan dalam talian,” katanya.

Seorang lagi panel, Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif The Lorry Online Sdn Bhd, Nadhir Ashafiq Zainal Abidin, berkata e-Dagang membolehkan perniagaannya menyediakan perkhidmatan lori, van dan kenderaan pacuan empat roda sewa.

“Kini diperluas kepada tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Thailand. Syarikat saya menggunakan sepenuhnya teknologi atas talian dan aplikasi mudah alih bagi menghubungkan pengusaha dengan pelanggan mereka termasuk menerusi penghantaran produk jualan mahu pun urusan berpindah,” katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 3:55am
d