mutakhir

Ibu di mana?

Oleh Mohd Shukor Amin

IBU kandung kepada dua beradik, dirayu segera menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sabak Bernam bagi melancarkan urusan penjagaan kanak-kanak tersebut.

Pelindung Kanak-kanak Daerah Sabak Bernam, Maszuki Mat Zin berkata, pada 2 April 2018 pihak Hospital Teluk Intan merujuk kes kedua-dua kanak-kanak itu, Nashira Bibi Mastan, 12 dan adiknya Yosshen, dua tahun 11 bulan, kepada Pelindung Kanak-kanak Sungai Besar.

Kedua-dua beradik itu kemudian diletakkan di bawah jagaan ibu saudara mereka, separa peruntukan Seksyen 25 (2) Akta Kanak-kanak 2001 (Pindaan) 2016.

Bagaimanapun, katanya, sebarang urusan penjagaan kanak-kanak berkenaan dan urusan-urusan lain tidak dapat dijalankan dengan sempurna kerana ibu kandung mereka, Nur Rahimah Abdullah sehingga kini masih belum ditemui.

“Pihak JKM mengambil keputusan memohon jasa baik akhbar untuk membantu mengesan ibu kandung dua beradik ini sebelum menyerahkan hak penjagaan kepada ibu saudara mereka sekiranya usaha mengesan masih juga gagal,” katanya.

Menurut Maszuki, perbicaraan kes kanak-kanak itu di mahkamah sudah ditetapkan pada 10 Mei ini dan diharapkan ibu kandung mereka dapat ditemui sebelum atau pada 1 Mei bagi kelancaran proses berkenaan.

“Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat atau menemui ibu kandung dua beradik itu dipohon agar segera menghubungi pihak JKM pada talian telefon 03-32242304 atau 03-32244873,” katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 10:53am
d