mutakhir

Patutlah anak pakai seluar dalam berlapis...

Oleh Mohd Rizal Abdullah

TANDA tanya wanita apabila mendapati anak perempuannya sering memakai beberapa lapis seluar dalam terjawab selepas anaknya mendakwa sering dicabul guru kelasnya sejak tahun lalu.

Mangsa berusia lapan tahun itu dikatakan sering memakai lebih dari sehelai seluar dalam setiap kali ke sekolahnya di Batu Niah mengakibatkan ibu mangsa berusia 26 tahun itu curiga sebelum mangsa mendedahkan perkara itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan di Balai Polis Pusat Miri pada 3.30 petang kelmarin.

Menurutnya, perbuatan suspek terbongkar selepas mangsa menceritakan perkara itu kepada ibunya sebelum laporan polis berhubung kejadian itu dibuat ibu mangsa.

"Mangsa mendakwa sering dicabul di belakang meja guru kelas dan kejadian itu sudah berlarutan ketika mangsa berusia tujuh tahun," katanya.

Katanya, suspek kemudiannya dipanggil untuk memberikan keterangan di Balai Polis Pusat Miri sebelum suspek ditahan untuk siasatan.

"Kes disiasat mengikut seksyen 14 (a) dan 16 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Berita berkaitan

Guru durjana ditahan

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 4:24pm
d