mutakhir

'Budak Jepun pun dia tapau'

Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

BERAT badannya hanya 21 kilogram (kg), tetapi mampu menewaskan peserta dari negara lain pada Pertandingan Taekwando Antarabangsa di Osaka, Jepun yang berlangsung antara 20 hingga 22 April lalu.

Nik Anaqi Nik Muhammad Hafiz, 10, murid Sekolah Sri Seremban, Negeri Sembilan antara tiga peserta terpilih mewakili Kelab Taekwando Negeri Sembilan bagi kategori berat bawah 24 kg sekali gus diaggap peserta mempunyai berat badan paling ringan.

Dua lagi wakil negara ialah Muhammad Syafiq Mohd Nizam, 12, yang membawa pulang pingat Perak menerusi kategori bawah 45 kg, manakala Tengku Iskandar Zamri, 18, menyertai kategori bawah 54 kg.

Nik Anaqi yang ditemani bapanya,Nik Muhammad Nik Ab Rashid berkongsi pengalamannya kepada NSTP berkata, kemahiran membaca kelemahan serta pergerakan pesaing memberi kelebihan untuk menumpaskan lawan.

“Walaupun peserta lain berbadan besar dan tinggi berbanding saya, namun mereka ada kelemahan seperti tidak boleh melompat tinggi atau sukar mengelak jika serangan dari bahagian bawah.

“Kemahiran ini saya peroleh hasil tunjuk ajar jurulatih Hoh Wee Chow sejak menyertai sukan ini, tiga tahun lalu.

“Jurulatih menasihatkan kami supaya sentiasa tenang dan tidak gentar dengan saiz badan yang lebih besar kerana setiap orang ada kekuatan dan kelemahan masing-masing,” katanya di pejabat NSTP Kuala Lumpur, hari ini.

Pertandingan tahunan yang diadakan buat kali ke-16 membabitkan 861 peserta dari 21 negara dengan pelbagai kategori dipertandingkan.

Peserta dari Nepal dengan berat badan 24 kg meraih pingat emas bagi kategori yang sama dengan Anaqi, manakala pingat gangsa dimenangi bersama peserta dari Hong kong dan Malaysia.

Dalam pada itu, Nik Hafiz berkata, anaknya sangat meminati taekwando sejak menonton filem Karate Kid ketika berada di prasekolah.

“Taekwando dan karate adalah dua seni mempertahankan diri yang berbeza, namun mempunyai gerak tempur hampir sama.

“Anaqi memilih taekwando kerana pakaiannya lebih banyak ciri keselamatan khususnya di bahagian kepala dan badan berbanding karate.

“Kejayaan Anaqi turut didorong oleh sokongan ahli keluarga dan pihak sekolah termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah,” katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 5:08pm
d