mutakhir

Drebar lori didenda RM17,000

Oleh Murni Wan Omar

PEMANDU lori dikenakan hukuman denda RM17,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas kesalahan membuang sisa pepejal pembinaan di kawasan perumahan tahun lalu.

Hakim Wan Mohd Norhisham Wan Yaakob membuat keputusan itu selepas Yahya Yusof, 54, mengaku bersalah atas perbuatan itu dan jika gagal membayar denda, Yahya boleh dikenakan hukuman penjara tiga bulan.

Yahya didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal pembinaan di hujung Jalan Tiara Titiwangsa 3, Taman Titiwangsa, pada 4 petang 9 Oktober 2017.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mohamad Yasser Mohd Nasri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, seorang Pembantu Penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Patrick Anak Dadi bersama pasukannya membuat pemeriksaan di tempat kejadian dan menemui longgokan sisa tanah secara haram.

Hasil siasatan mendapati ia dilakukan individu yang berkerja di syarikat Hoe Yee Trading.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 5:56pm
d