mutakhir

NSTP raih tiga hadiah Anugerah Media Asia

Oleh Azizi Othman

KUMPULAN The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) meraih tiga hadiah pada majlis Anugerah Media Asia (Asian Media Awards) 2018 di Nusa Dua, Bali, hari ini.

Laporan mengenai bagaimana nahas membabitkan seorang pembalak, akhirnya mendedahkan mengenai kemusnahan alam sekitar, yang disiarkan akhbar serta portal online New Straits Times (NST) meraih Anugerah Perak bagi Laporan Berita Terkini Akhbar dalam kategori Kandungan Editorial Terbaik.

Meraih Anugerah Gangsa dalam kategori sama ialah laporan mengenai dua bersaudara dari Palestin yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), disiarkan di akhbar dan portal online Harian Metro. Jurugambar NSTP Osman Adnan pula meraih Anugerah Gangsa bagi Fotografi Sukan dalam kategori Kewartawanan Gambar Terbaik untuk gambar pasukan bola sepak Malaysia meraikan kemenangan menentang Indonesia pada Sukan Sea 2017 yang disiarkan akhbar serta portal online NST.

Ini ialah kemenangan ketiga beliau di WAN-Ifra.

Anugerah Media Asia ialah pengiktirafan kecemerlangan berprestij anjuran Persatuan Akhbar Antarabangsa (WAN-Ifra) yang diadakan sebagai sebahagian daripada persidangan tahunan Publish Asia.

Edisi 2018 persidangan itu berlangsung dua hari di pulau peranginan ini bermula hari ni.

Anugerah disampaikan oleh Pengerusi WAN- Ifra Asia Pasifik Patrick Daniel dan Ketua Pegawai Operasi WAN-Ifra Thomas Jacob.

Hadir sama, Ketua Pegawai Komersial NSTP Alfian Talib dan Pengurus Besar Perniagaan Digital dan Pembangunan NSTP Azizi Othman.

NSTP juga muncul institusi media Malaysia yang meraih paling banyak anugerah di Anugerah Media Asia 2018.

Kumpulan media The Star memenangi satu anugerah dalam kategori Kandungan Editorial Terbaik.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 7:12pm
d