mutakhir

#TsunamiPHitnah setebal kamus DBP - Najib

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

FITNAH ditabur pembangkang kepada Barisan Nasional (BN) setebal Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, fitnah pembangkang membawa kesan begitu mendalam, bukan saja kepada individu atau entiti difitnah, juga masyarakat dan hala tuju negara.

“Sebenarnya, sejak pilihan raya yang lalu hingga kini, jika saya menyenaraikan setiap satu lemparan fitnah dibuat pembangkang, boleh jadi setebal Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka jumlah muka surat yang perlu diperuntukkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam catatan menerusi blog, www.najibrazak.com sambil menyifatkan lemparan fitnah pembangkang kini dapat digelarkan sebagai #TsunamiPHitnah.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, diri dan keluarganya juga sering menjadi mangsa politik fitnah pembangkang yang tidak langsung kenal akan erti kehormatan atau rasa bertanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat.

“Yang mereka tahu hanyalah berebut kuasa tanpa menghiraukan cara bagaimana untuk mendapatkannya.

“Semakin dekat kita dengan pilihan raya, semakin berleluasa dan dahsyat fitnah dilontarkan pembangkang berupaya memporak perandakan dan mampu membinasakan keharmonian hidup bermasyarakat,” katanya.

Dalam penulisan sama, Najib turut memperincikan semula bentuk fitnah dilemparkan pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu seperti 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh serta berlakunya putus bekalan kuasa atau ‘blackout’ di pusat mengundi.

Beliau berkata, fitnah seperti ini hanya memerlukan sedikit kajian dan pemikiran logik untuk dibuktikan palsu, namun akibat keghairahan berpolitik, ramai mempercayainya dan ditipu bulat-bulat pembangkang.

Akibatnya, kata Najib rakyat yang lahir dan dibesarkan di negara ini, jika berkulit gelap, dituduh sebagai warga asing, dipaksa menyanyi lagu Negaraku di khalayak ramai, malah ada kad pengenalan mereka diviralkan di media sosial dengan pelbagai kutukan dan cacian dilemparkan.

“Komuniti pekerja asing Bangladesh yang datang ke sini mencari rezeki halal dihambat dan dicerca, diperlekeh dan dijadikan mangsa kebencian akibat politik fitnah,” katanya.

Satu lagi fitnah pembangkang kata Najib adalah terhadap Lembaga Tabung Haji (TH), sebuah institusi yang menjaga kebajikan jemaah Haji Malaysia.

Katanya, biarpun TH berjaya mencatat dividen pelaburan kompetitif, selain dipuji sebagai pengurusan jemaah Haji contoh sehingga diberi penambahan kuota Haji tahunan, namun semua ini seperti tidak dipedulikan.

“Akibatnya, lebih 3,000 pendeposit yang terpedaya dan termakan hasutan dan fitnah jahat pembangkang bertindak menutup akaun mereka. Kesannya, mereka hilang kelayakan dan giliran Haji.

“Tergamaknya pembangkang memfitnah sebegini rupa, yang teraniaya adalah pakcik dan makcik berumur, yang menunggu giliran ke Tanah Suci bertahun lamanya musnah dan harapan mereka kerana politik fitnah pembangkang,” katanya turut menyatakan prestasi dicapai TH selama ini juga berjaya mengukuhkan lagi hubungan antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

Justeru, Najib mahu semua rakyat tidak menjadi ejen kemusnahan dengan membenarkan politik fitnah pembangkang berleluasa, kerana ia membawa kerugian bukan saja individu, malah masyarakat dan negara.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 8:29pm
d