mutakhir

PM: Petik sikit, rakyat dapat [METROTV]

Oleh Hidir Reduan dan Amin Ridzuan Ishak

DATUK Seri Najib Razak menegaskan Barisan Nasional (BN) perlu diberi kuasa politik bagi meneruskan agenda pembangunan luar bandar

Perdana Menteri berkata, ia adalah sebagai kesinambungan agenda yang diperjuangkan bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein untuk memastikan penduduk di kawasan itu menikmati kehidupan lebih baik.

Beliau yang juga Pengerusi BN itu berkata, masih banyak perlu dilakukan dan ia hanya boleh dilaksanakan apabila BN mempunyai kuasa politik dan mandat besar daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Tiada makna kalau kita tiada kuasa politik, Putrajaya milik orang lain, dalam pembangkang kuasa mutlak di tangan DAP, sebab itu pilihan raya kali ini bukan pertembungan antara Najib dengan (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) tetapi BN ditunjangi UMNO dengan pembangkang dinaungi DAP.

“Mahathir dengan Tan Sri Muhyiddin (Yassin) dahulu kata DAP ini parti anti Islam, bukan saya kata, ingat kita boleh minta dengan dia? Macam di Lipis ini mereka minta loji air dan kompleks sukan, dengan saya petik sikit pun jadi.

“Saya mewakili parti yang berakar umbi di kawasan macam Lipis dan saya duduk di Putrajaya kerana penyokong tegar seperti di Lipis, kita kena tengok asas politik dan sebab itu saya datang ke sini,” katanya berucap pada majlis perjumpaan bersama rakyat di perkarangan Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Lipis, hari ini.

Dalam ucapannya itu, Najib turut menempelak pembangkang yang hanya bersandiwara untuk mendapat keuntungan politik antaranya dengan memilih Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi PRU-14.

“Pembangkang ini banyak bersandiwara dan berlakon, tengok sahaja sekian lama Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan (mendiang) Karpal Singh macam-macam kata dekat dia, dahulu kata hendak hadapkan Mahathir ke mahkamah tetapi sekarang hendak angkat jadi Perdana Menteri pula.

“Mereka ini tidak ikhlas, hati kata lain tetapi mulut kata lain, kita tidak boleh terima pembangkang macam ini,” katanya.

Katanya, pembangkang juga sebelum ini menghina dan mencerca golongan dengan menyamakan pemberian pelbagai bantuan kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai dedak.

“Sekarang ini mereka buat pusingan ‘U’ dan sebut dalam manifestonya bahawa BR1M akan diteruskan, sebab apa? Sebab orang marah tidak dapat BR1M, siapa hendak bagi RM800.

“Zaman kini kita jaga kebajikan rakyat sampai ke dapur, anak yang dilahirkan akan dapat RM200 menerusi ADAM50, penjawat awam pun dapat kenaikan gaji satu peringkat khas,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan kelulusan peruntukan projek naik taraf loji rawatan air Benta Fasa 2 dan pembinaan kompleks sukan bernilai RM10 juta di Kechau, Lipis.

Selepas majlis perjumpaan bersama rakyat itu, Najib kemudiannya singgah ke Hospital Kuala Lipis untuk meninjau kemudahan perkhidmatan mesin pengimbasan tomografi berkomputer bernilai RM3 juta.

Peruntukan untuk menyediakan mesin berkenaan diluluskan oleh Perdana Menteri ketika merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Lipis pada Julai tahun lalu.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 8:48pm
d