mutakhir

Lima cabang PKR Perak bantah calon PPBM [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

LIMA cabang PKR Perak hari ini, menyuarakan bantahan dan tidak akan memberi sokongan kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang akan menggunakan logo parti itu dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bantahan itu disuarakan pemimpin cabang PKR Gerik, Lenggong, Kuala Kangsar, Tapah dan Parit.

Ketua Cabang PKR Lenggong, Id Azalan Shah Banyamin, 60, mendakwa banyak isu membabitkan penyertaan PPBM dalam pakatan pembangkang terutama merampas hak PKR dalam pencalonan untuk PRU-14 serta penggunaan logo parti.

Katanya, sukar bagi ahli akar umbi yang sudah lama membuat kerja serta persediaan di kawasan masing-masing dan secara tiba-tiba calon parti lain yang tidak melakukan kerja dicalonkan serta menggunakan logo PKR.

“Secara jujurnya, kita maklumkan kepada ahli dan jentera agar bertenang dan terus buat kerja, tetapi akar umbi ingin calon yang mereka kenal terutama di kampung yang tidak mahu calon ‘helikopter’ atau hanya datang ketika pilihan raya selepas itu hilang.

“Kesan daripada itu ditanggung ketua cabang apabila perlu menjawab kepada ahli dan pengundi, hati rakyat sudah kita sentuh tetapi yang datang (calon) adalah orang baharu tidak dikenali sudah pasti rakyat sukar untuk memilihnya,” katanya pada sidang media di Ipoh, hari ini.

Ketua Cabang PKR Tapah, Adanan Talib, 60, melahirkan rasa tidak percaya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkannya memecah-belahkan PKR.

“Dengan kemasukan PPBM dalam pakatan, banyak kerusi sepatutnya ditandingi PKR dikorbankan untuk PPBM tanpa persetujuan akar umbi seperti di Perak yang ahlinya tidak ramai. PPBM ada di Perak, tetapi boleh diibaratkan sebagai adik kecil.

“Nama sahaja pakatan apabila sepatutnya semua parti ada di setiap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi ada kawasan tiada calon PKR langsung walaupun kami sudah lama bertapak di kawasan itu.

“Bagi saya ini bukan pakatan tetapi dominasi, jadi ia mengecewakan ahli akar umbi termasuk ada yang membangkitkan sama ada PPBM ini aset atau liabiliti kepada pakatan dan bagi saya ia adalah liabiliti,” katanya.

Adanan secara peribadi tidak percaya kepada mana-mana calon PPBM dan beranggapan mereka jika menang pada bila-bila masa boleh jual kerusi, justeru berharap pucuk pimpinan PKR berhati-hati dengan PPBM sebelum terjadi perkara tidak diingini.

Tiga lagi ketua cabang iaitu Mohd Khair Mohd Zainal, 60 (Kuala Kangsar), Usaili Alias, 65, (Parit) dan Kaha Othman, 64, (Gerik) turut berkongsi pendapat sama dan menyatakan ketidakpuasaan hati terhadap kepemimpinan PKR.

Mereka mendakwa, berdasarkan maklumat diperoleh, setakat ini ada lima kerusi Parlimen dan lima DUN di Perak yang sepatutnya milik PKR, tetapi diserahkan kepada PPBM antaranya di Lumut, Tapah, Gerik, Bukit Chandan dan Bota.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 9:44pm
d