mutakhir

Denda RM10 juta, tanda PKR tidak demokratik

Oleh Farah Marshita Abdul Patah dan Norrasyidah Arshad

TINDAKAN PKR mengenakan denda RM10 juta terhadap mana-mana wakil rakyatnya yang melompat parti dilihat sebagai tindakan tidak demokratik.

Pengamal undang-undang, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, berkata adalah tidak sah untuk parti itu mengenakan denda terhadap mana-mana ahli mereka, kerana tiada sebarang peruntukan undang-undang berhubung isu terbabit.

Beliau berkata, tindakan itu dilihat  mengganggu gugat proses demokratik yang seharusnya ada dalam sebuah parti politik 

“Tujuan pilihan raya adalah untuk memilih wakil dan mereka berhak memilih parti yang mahu diwakili tanpa sebarang kekangan.

“Arahan menandatangani dokumen itu juga dilihat sebagai mengganggu  proses pilihan raya,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini hari ini. 

Terdahulu, media melaporkan ada bakal calon PKR untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 ini sudah menandatangani dokumen berkaitan.

Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar, ketika mengesahkan langkah itu, berkata kontrak terbabit dilaksanakan sebagai bayaran denda kepada mana-mana ahli terpilih atas tiket parti itu bertindak keluar parti.

“Setakat ini, tiada mana-mana ahli yang terbabit dengan perjanjian itu dikenakan denda terbabit,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Johari Abdul, pula dilaporkan media sebagai berkata, perjanjian yang mengenakan denda RM10 juta itu dibuat bermula PRU pada 2013.

Beliau turut mengesahkan semua calon yang akan bertanding untuk PRU-14, sudah menandatangani perjanjian itu semalam.

Jahaberdeen berkata, sebaliknya apa yang harus dilakukan parti itu sekiranya ada dalam kalangan ahli yang melompat parti adalah meminta pembayaran balik kos perbelanjaan yang dikeluarkan ketika kempen pilihan raya. 

Berdasarkan rekod, pada 2010, Ahli Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim, bertindak keluar daripada PKR dan menjadi calon bebas.

Pada tahun 2016, Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias,  Datuk  Lajim  Ukin dan ADUN Moyog, Terrence Siambun, menyertai Parti Warisan Sabah. 

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 10:51pm
d