mutakhir

Ahli PKR tolak calon Kapar [METROTV]

Oleh Farah Marshita Abdul Patah dan Veena Babulal

Kuala Lumpur: Sekumpulan 50 ahli dan penyokong akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerahkan memorandum membantah pencalonan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid bagi kerusi Kapar atas dakwaan kawasan itu Parlimen tradisi orang India sejak dulu lagi.

Kumpulan berkenaan menyerahkan memorandum itu di hadapan Ibu Pejabat PKR di sini, semalam sejurus menerima maklumat Abdullah Sani dicalonkan bagi mempertahankan kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Abdullah Sani sebelum ini bekas Ahli Parlimen Kuala Langat dicalonkan PKR bagi menggantikan penyandang G Manivannan yang ditawarkan bertanding di kawasan Hutan Melintang, Perak.

Jurucakap kumpulan itu, G Kalaiselvan berkata, mereka menolak sekiranya pucuk pimpinan PKR mahu mencalonkan Abdullah Sani dalam PRU14 kali ini kerana beliau tidak mewakili 17,000 pengundi India di kawasan itu.

“Bagaimanapun, kami turut menolak sekiranya penyandang Manivannan dicalonkan semula untuk kerusi itu kerana pintu pejabatnya sentiasa tertutup dan beliau tidak melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan bagus, katanya di sini, semalam.

Tegasnya, kawasan itu sejak dulu menjadi Parlimen tradisi untuk kaum India walaupun pernah dipegang BN, malah MIC pada PRU kali ini turut meletakkan calon India.

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 3:49am
d