mutakhir

Cari ikon digital

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Rembau: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mendekati komuniti Orang Asli dalam usaha menjadikan mereka usahawan digital menerusi program e-USAHAWAN.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood berkata, sebelum ini pihaknya lebih tertumpu kepada pendedahan maklumat secara umum terhadap golongan itu.

Menurutnya, dalam memastikan mereka lebih berjaya pihaknya mencari ikon dalam kalangan komuniti itu sebagai dorongan dan semangat untuk mereka menceburi keusahawanan.

“Sebagai contoh, masyarakat Orang Asli berasa kekok mengikuti program begini terutama apabila maklumat yang disampaikan itu bukan dalam kalangan mereka.

“Apabila kami mendidik mereka yang berkebolehan secara langsung menjadi ikon kepada komuniti terbabit yang akhirnya menyampaikan maklumat, teknik dan kaedah kepada komuniti mereka pula,” katanya kepada pemberita ketika lawatan di Temuan Abo Kraf, Kampung Orang Asli Ulu Chembong di sini, semalam.

Perusahaan itu diusahakan Helmi Naim Ahmad, 23, yang juga anak Orang Asli suku Temuan kampung itu.

Yasmin berkata, ikon dipilih menubuhkan Pusat Komuniti Usahawan untuk membantu mereka daripada segi penghasilan produk dan pemasaran digital dengan dibantu MDEC.

“Ini secara langsung meningkatkan ekonomi mereka yang bukan saja bergantung kepada menoreh getah dan memungut hasil tanaman,” katanya.

Sementara itu, Helmi mula mengusahakan kraf tangan pada 2013 dengan menjual menerusi ekspo.

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 4:17am
d