mutakhir

Peragut simpan 11 MyKad mangsa ditahan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Pendang: Tindakan licik seorang lelaki yang melakukan ragut dan rompak di lima daerah di negeri ini sejak lebih setahun lalu akhirnya kecundang apabila dia ditahan polis baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, suspek berusia 24 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Sungai Semiar, Sik dalam Op Cantas berdasarkan maklumat daripada mangsa yang diragutnya di daerah ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang ke rumah suspek jam 3.15 petang, 11 April lalu.

Katanya, ketika serbuan, ibu bapa suspek turut berada di rumah dan tidak mengetahui kegiatan jenayah dilakukan anak mereka.

Penahanan suspek itu katanya, turut merungkai beberapa lagi kes ragut dan rompak selepas polis menemui 11 keping MyKad, dua telefon bimbit dan sebuah beg tangan milik mangsa di rumah berkenaan.

“Siasatan menunjukkan lelaki terbabit melakukan perbuatan itu berseorangan dan menyasarkan wanita yang menunggang motosikal bersendirian.

“Polis turut merampas motosikal jenis Yamaha 125 berwarna kuning hitam yang tiada nombor pendaftaran depan dan belakang disyaki digunakan untuk tujuan meragut,” katanya di sini, semalam.

Fadzil berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek dipercayai turut melakukan kegiatan sama di daerah lain termasuk di Sik, Baling, Yan dan Kuala Muda.

Berdasarkan maklumat, katanya, suspek akan menanggalkan nombor pendaftaran motosikal ketika melakukan kegiatan itu selain menyasarkan mangsa yang meletakkan beg tangan atau dompet di dalam raga motosikal mereka.

“Biasanya dia akan melakukan kegiatan itu sekitar jam 1 tengah hari hingga 7 malam.

“Suspek yang masih bujang dan tidak bekerja itu terkantoi kerana menyimpan Mykad milik semua mangsa menyebabkan dia ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 4:34am
d