mutakhir

Rayu teliti semula bukti

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Pihak pembelaan dalam kes membabitkan ejen unit amanah yang dihukum penjara 48 tahun dan 24 sebatan atas 623 tuduhan pelbagai kesalahan seksual terhadap anak perempuan kandungnya, memohon untuk meneliti rakaman audio dan video ketika prosiding pengakuan bersalah direkodkan, Ogos tahun lalu.

Peguam Rajesh Nagarajan dan Tiu Foo Woei dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili lelaki berusia 37 tahun itu selaku perayu membuat permohonan berkenaan pada pendengaran rayuan kes di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah di Mahkamah Tinggi, di sini.

Terdahulu, Rajesh memaklumkan pihaknya membuat permohonan itu berikutan anak guamnya mendakwa tidak semua 623 pertuduhan yang dihadapinya dibacakan semula ketika prosiding pada 25 Ogos tahun lalu.

“Ketiadaan peguam juga membuatkan dia tidak faham sebab dan akibat pengakuan yang dibuat. Sejak anak guam saya ditahan hingga dituduh dan ketika jatuh hukum, dia tidak diwakili peguam dan perkara itu membuatkan dia tidak tahu haknya di sisi undang-undang.

“Anak guam saya menghadapi pertuduhan yang serius dan sewajarnya dia perlu mempunyai peguam untuk memberi khidmat nasihat kepadanya,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 16 Mei ini untuk sambung pendengaran kes itu.

Perayu memfailkan rayuan untuk mengurangkan hukuman itu pada Oktober tahun lalu.

Pada 8 September tahun lalu, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Putrajaya menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap lelaki itu selepas dia mengaku bersalah merogol, meliwat dan penganiayaan seksual terhadap anak perempuannya.

Hakim Yong Zarida Sazali memerintahkan dia menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap pada 26 Julai 2017.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan, menjalani kaunseling pemulihan 10 tahun dan mengikuti pengawasan polis tiga tahun selepas keluar penjara.

Kes itu mendapat perhatian awam apabila lelaki itu didakwa atas 623 kesalahan, termasuk satu kes rogol, 591 kesalahan liwat dan 30 tuduhan melakukan seksual fizikal terhadap anak perempuannya serta satu kes penganiayaan seksual.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di bilik tidur rumahnya di Sungai Way, Petaling Jaya sejak Januari tahun lalu hingga Julai tahun lalu.

Laporan polis mengenai kejadian dan perbuatan lelaki itu dibuat bekas isteri tertuduh pada 25 Julai 2017.

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 4:57am
d