mutakhir

Dadah RM13,000 dalam kondo

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Dua lelaki disyaki pengedar ditahan bersama dadah jenis Methamphetamine, serbuk dadah dan pil Eramin 5 dianggarkan bernilai RM13,000 di sebuah kondominium di Bandar Tun Razak, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di tempat letak kereta kondominium berkenaan jam 3.15 petang.

“Polis merampas satu peket Methamphetamine seberat 31 gram (g), alat penimbang dan kunci daripada poket seluar suspek yang juga seorang peniaga.

“Suspek juga mengaku menyimpan dadah di dalam rumahnya yang membawa kepada penahanan rakan serumahnya berusia 25 tahun pada jam 3.25 petang.

“Pemerikaaan lanjut di dalam rumah itu menemui 40 pil Eramin 5 dan 23 peket Methamphetamine seberat 64g selain wang tunai berjumlah RM800 serta kunci sebuah kereta Mercedes Benz C200,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam kereta itu pihaknya menemui dua peket serbuk dadah dan empat peket Methamphetamine seberat 50g.

“Semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM13,000.

“Kami turut menemui seragam pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan dengan tanda nama ‘Muhd Nur’, kasut hitam pegawai kanan polis dan vest polis.

“Pakaian pegawai polis itu dipercayai digunakan oleh suspek kedua yang juga pemandu peribadi untuk melakukan kegiatan pemerasan,” katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki dikenali sebagai Farid yang menaiki kereta Perodua Myvi berwarna hitam.

“Mereka sudah berurusan dengan lelaki terbabit sejak lima bulan lalu. Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mereka didapati tiada rekod jenayah lampau.

“Kedua-dua suspek kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 5:19am
d