mutakhir

Manifesto menyeluruh majukan Sabah

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

MANIFESTO Barisan Nasional (BN) Sabah yang dibentangkan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, malam tadi, disifatkan satu akujanji yang menyeluruh dan menepati kehendak seluruh rakyat negeri ini.

Pemangku Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau berkata, apa yang sering disuarakan rakyat Sabah sebelum ini termasuk berkaitan hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ada disebut dalam manifesto berkenaan.

"Semua keprihatinan dan kehendak rakyat Sabah sudah dimasukkan dalam manifesto ini bermula dengan MA63. Aspek hubungan kaum juga dititik berat dengan penubuhan Unit Hal Ehwal Bukan Islam di Jabatan Ketua Menteri.

"Begitu juga penyelesaian pendatang asing tanpa izin... ini komitmen BN bahawa kita akan terus menyelesaikan isu ini hingga ia dapat diatasi sepenuhnya.

"Satu lagi ialah isu tanah... BN menyatakan komitmen supaya sistem penyampaian berkesan dilaksanakan untuk terus menangani isu ini," katanya mengulas manifesto BN Sabah bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Manifesto bertemakan 'Tanah Airku Maju' itu mengandungi 20 komitmen BN Sabah yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang termasuk memelihara hak Sabah dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.

Madius yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, lebih menarik manifesto BN Sabah turut mengiktiraf industri kreatif sebagai sumber ekonomi baharu bagi mempelbagaikan aktiviti ekonomi negeri, di samping memperkukuh sumber sedia ada seperti pertanian, pelancongan serta minyak dan gas.

"Bukan itu saja, pembangunan untuk belia tidak dilupakan, malah BN negeri meletakkan usaha untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang tentunya memberi manfaat kepada golongan belia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Sabah, Yamani Hafez Musa berkata, kandungan manifesto BN Sabah adalah hasil pandangan orang di peringkat bawah dan ia disusun mengikut kepentingannya kepada rakyat negeri ini.

"Sebab itulah komitmen yang pertama adalah berkaitan hak rakyat Sabah dalam MA63 kerana ia sangat penting, diikuti yang kedua soal hubungan antara agama dan kaum.

"Selain itu, isu lain yang dianggap sangat penting sebelum ini iaitu pendatang asing tanpa izin juga dimasukkan, ini menunjukkan ada kesinambungan komitmen BN untuk menyelesaikan isu ini," katanya.

Bagi belia, katanya, harapan mereka menerusi aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) khususnya berkaitan dengan pekerjaan dan rumah mampu milik turut diberikan perhatian.

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 11:06am
d