mutakhir

Sinar baru buat Farhann

Oleh Farhani Che Ad

DARI riak wajah yang ceria, siapa sangka remaja ini pernah melalui kisah hidup yang menyedihkan apabila terpaksa mencari rezeki bagi menyara keluarganya seawal usia 12 tahun, selepas ibunya diserang strok.

Muhammad Farhann Aliff Rosle, 16, berkata, dia terpaksa meninggalkan alam persekolahan dan bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM40 sehari untuk menyara ibu dan adik perempuannya.

“Selepas kematian arwah ayah pada usia saya lima tahun, ibu yang bertanggungjawab membesarkan kami sekeluarga dengan berniaga kuih muih dan nasi lemak secara kecil-kecilan.

“Pada 2014, ibu yang baru sahaja pulang daripada berniaga tiba-tiba kena serangan strok dan sejak itu dia tidak lagi mampu bekerja,” katanya ketika ditemui di Pertubuhan Rumah Anak Yatim Kuala Muda, Sungai Petani, semalam.

Kesempitan hidup membuatkan kakak dan abangnya juga terpaksa berhenti sekolah sebelum abangnya diserahkan kepada bapa saudara mereka dan kakaknya mengambil keputusan untuk bekerja sebagai jurujual.

Pada usia 14 tahun, Farhann sekali lagi diuji apabila dia terpaksa menjalani pembedahan apendiks.

Menurut Farhann, selepas beberapa hari pulang ke rumah selepas menjalani pembedahan, ibunya tiba-tiba rebah di rumah membuatkan dia terpaksa mengangkat ibunya dengan keadaan luka yang belum sembuh.

“Pada hari ibu rebah, ibu dibawa ke hospital sebelum ibu tidak sedarkan diri dan terpaksa bergantung kepada mesin bantuan hayat.

“Beberapa hari selepas kejadian itu, saya pula terpaksa dikejarkan ke hospital akibat luka pembedahan yang dijangkiti kuman dan terpaksa menjalani pembedahan buat kali kedua,” katanya.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, ibunya dijemput Ilahi ketika dirinya belum sedar akibat menjalani pembedahan dan dia hanya mengetahui berita kematian ibunya daripada kakaknya selepas ibu mereka selamat dikebumikan.

Hancur luluh hatinya apabila dia tidak berkesempatan menatap wajah ibunya buat kali terakhir.

Sepanjang berada di hospital, dia hanya mampu menangis mengenangkan ibunya, sebelum ditemukan dengan Ketua Biro Kebajikan Pertubuhan Rumah Anak Yatim Daerah Kuala Muda, Natipah Abu.

Katanya, wanita yang dipanggil ‘mak’ itu membuatkan hidupnya berubah, sekali gus memberi sinar baru dalam hidupnya.

Kini, Farhann bersyukur diberi peluang kedua untuk kembali bersekolah sejak tahun lalu dan mengejar cita-cita selepas dua tahun tidak bersekolah.

“Saya dipelawa oleh ‘mak’ untuk tinggal di rumah anak yatim yang saya tinggal kini. Alhamdulillah, hidup saya kini lebih bermakna di sini bersama keluarga baru dan saya gembira dapat kembali bersekolah,” katanya.

Sementara itu, Natipah berkata, awalnya remaja itu seakan sudah berputus asa dengan hidupnya, namun pihaknya cuba meyakininya bahawa kehidupannya lebih terjamin sekiranya dia tinggal di rumah anak yatim itu.

“Selepas dia keluar dari hospital, dia tinggal bersama bapa saudaranya. Kakak dan adiknya juga tinggal bersama bapa saudara yang sama selepas rumah mereka dilelong.

“Bagaimanapun, dia yang tidak suka menyusahkan orang lain bertindak kembali ke rumah lama mereka dan tinggal di situ tanpa bekalan air dan elektrik.

“Apabila saya mendapat tahu tentang keadaan dirinya, saya tidak berfikir panjang, saya terus nekad membawanya tinggal di sini,” katanya.

Kisah Farhann menjadi perhatian selepas Natipah memuat naik kisah kejayaan Farhann menerima Anugerah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid bersempena Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Layar di Facebook, baru-baru ini.

Natipah berkata, Farhann terpilih menerima anugerah itu selepas menunjukkan contoh yang baik dan kemajuannya dalam pelajaran selain aktif dalam kokurikulum.

Bagi mereka yang ingin membantu masa depan remaja itu bolehlah memberi sumbangan ke akaun Bank Rakyat di atas nama Muhammad Farhann Aliff Rosle yang bernombor 220031901900.

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 11:54am
d