mutakhir

'Apa jadi dengan kamu, encik suami?'

Oleh Zuhainy Zulkiffli

TIDAK tahu di mana silapnya, isteri buntu apabila memikirkan keselamatan suaminya yang menghilangkan diri secara tiba-tiba sejak lapan hari lalu.

Wanita dari Batu Pahat, Johor, yang enggan dikenali itu berkata, suaminya, Jamani Mohd Sani, 41, sudah dua kali menghilangkan diri sejak 16 April lalu.

Katanya, Jamani yang bekerja di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berubah menjadi pendiam sejak ditukarkan ke Pulau Pinang pada Januari lalu.

Rakan di rumah sewa Jamani turut memberitahu bahawa suaminya keluar rumah lengkap dengan pakaian kerja, namun selepas itu difahamkan tidak datang ke tempat kerja.

“Daripada seorang yang suka berbual, dia menjadi kurang bercakap dan saya fikir ia adalah perkara biasa ketika baru berjauhan selepas tujuh bulan mendirikan rumah tangga.

“Kali terakhir bertemu ialah ketika menghantarnya ke Terminal Bas Larkin pada 16 April lalu dan selepas itu dia dikhabarkan tidak ke tempat kerja dan tidak pulang ke rumah sewa di Balik Pulau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wanita itu lagi, beberapa hari kemudian suaminya pulang ke rumah dan keadaannya baik sambil memberitahu dia tiada masalah dan hanya pergi ke rumah rakan.

“Keesokan harinya, dia menghilangkan diri semula malah telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi menyebabkan saya risau dengan keselamatannya.

“Hubungan kami baik sahaja dan tiada perselisihan faham, malah sebelum dia menghilangkan diri, saya turut menasihatinya supaya bekerja dengan baik,” katanya lagi.

Laporan polis dibuat sebanyak dua kali iaitu pada 16 April di Balai Polis Larkin, Johor dan kali kedua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya pada 19 April lalu.

Jamani dilihat menunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran JKQ 1510 untuk ke tempat kerja.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Jamani boleh menghubungi isterinya di talian 017-741 6214.

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 10:27pm
d