mutakhir

'Pasai apa hang naik angin lagu tu?' [METROTV]

Oleh Hadzlihady Hassan

WANITA hamil trauma apabila dia menjadi mangsa penunggang motosikal yang mengamuk selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh Kampung Jawa, Bayan Lepas, hari ini.

Dalam kejadian 8.42 pagi itu, cermin hadapan dan belakang kereta mangsa dipecahkan penunggang motosikal terbabit dengan tukul dan topi keledar.

Menurut sumber, ketika kejadian mangsa berusia 27 tahun dan hamil lima bulan dalam perjalanan menghantar adiknya ke tempat kerja di sebuah kilang di kawasan itu.

“Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa memberhentikan kereta kerana mahu membelok ke kanan jalan.

“Bagaimanapun, sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dari arah bertentangan melanggar bahagian hadapan kiri kereta dipandunya,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian memberitahu penunggang motosikal terbabit mahu membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“€œKetika itulah penunggang motosikal berkenaan secara tiba-tiba mengamuk dengan memecahkan cermin kereta mangsa menggunakan tukul besi dan topi keledar.

“Bimbang dengan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, polis sudah menahan penunggang motosikal terbabit yang berusia 31 tahun bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan jenayah dan tiga rekod membabitkan kes dadah.

“Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan kita turut merampas topi keledar, tukul besi, pakaian serta motosikalnya,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 11:00pm
d