mutakhir

Pegawai Tadbir Agama dituduh minta suapan RM6,000

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Seorang Pegawai Tadbir Agama di Bagan Serai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, semalam, atas tuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan berjumlah RM6,000 bagi tujuan meluluskan perbekalan makanan dan minuman untuk dua program, empat tahun lalu.

Tertuduh, Tarmizi Sahari, 55, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Agama Bagan Serai pada 8 Oktober 2014 bagi dua program yang diadakan pada 6 dan 9 Oktober tahun sama.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi tujuan perbekalan makanan dan minuman program Pemantapan Akidah dan Kursus Belia-Belia Masjid.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, R Kumuthambal di hadapan Hakim S Indra Nehru, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid Tarmizi dan tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Kumuthambal mencadangkan kepada mahkamah wang jaminan sebanyak RM18,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh memandangkan kesalahan serius yang dilakukannya.

Pihak pembelaan kemudian memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah memandangkan tertuduh perlu menanggung isteri dan lima anak yang masih belajar, selain menghidap asma dan batuk.

Indra Nehru menetapkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh. Sebutan semula kes pada 17 Mei depan.

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 4:13am
d