mutakhir

Dua srikandi APM tenang tangkap ular [METROTV]

Oleh Junaidi Ladjana

HANYA 10 minit, tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Belud termasuk dua wanita, menangkap ular sawa batik hampir empat meter panjang di Kampung Kulambai, Kota Belud, hari ini.

Reptilia itu ditangkap oleh Rospianah Laduh, 30, Mahilin Salim, 36 dan Nuel Sidam, 40, sebaik menerima panggilan pada 6.28 pagi.

Berdasarkan rakaman video berdurasi 54 saat daripada APM, ketiga-tiga anggota terbabit termasuk dua wanita berjaya menangkap reptilia berkenaan tanpa banyak masalah.

Pegawai APM Kota Belud, Paulina Francis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang penduduk mengenai kehadiran ular di dalam reban ayam miliknya.

“Setiba di lokasi, anggota APM Kota Belud mendapati ular sawa berada di dalam reban ayam di pekarangan rumah pengadu.

“Tiga anggota APM Kota Belud mengambil masa 10 minit untuk menangkap ular berkenaan menggunakan kelengkapan khas menangkap ular,” katanya di Kota Belud, hari ini.

Beliau berkata, ular seberat hampir 10 kilogram dibawa ke pejabat APM Kota Belud untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 12:23pm
d