mutakhir

Kantoi sembunyi dalam feri

Oleh Norzamira Che Noh

DUA lelaki warga Indonesia tanpa dokumen sah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), kira-kira 0.6 batu nautika dari Selat Lumut, semalam.

Pengarah Maritim Daerah, Kapten Abu Zaki Mohammad berkata, dalam kejadian 4 petang itu, kedua-duanya ditahan berselindung di sebalik feri penumpang.

“Mereka ditahan ketika Maritim Malaysia melakukan pemeriksaan ke atas feri penumpang tempatan yang dalam pelayaran dari Pulau Ketam ke Pelabuhan Klang.

“Difahamkan kedua-dua lelaki itu bersembunyi ketika pemeriksaan dijalankan anggota Maritim Malaysia,” katanya di Pelabuhan Klang, hari ini.

Beliau berkata, dua individu itu ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kedua-dua warga Indonesia itu dibawa ke Daerah Maritim 4 (DM4) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pada masa sama, Abu Zaki berkata, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan Malaysia khususnya di perairan Selangor.

Katanya, orang ramai juga diharap dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat lengkap kepada Maritim Malaysia jika terdapat sebarang aduan, kecemasan dan aktiviti jenayah di laut di talian 24 jam MERS 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia.

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 12:46pm
d