mutakhir

Cikgu mohon cuti khas

Oleh Amir Hamzah Nordin

DUA kesatuan guru mahu pentadbiran sekolah membenarkan guru di sekolah masing-masing untuk mengambil Cuti Rehat Khas (CRK) bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 9 Mei depan.

Ia berikutan timbul rungutan segelintir guru yang mendakwa tidak dibenarkan mengambil CRK untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi mengundi sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Datuk Mohd Sabri Arshad berkata, ada keperluan untuk guru mengambil cuti berkenaan sekiranya kampung halaman mereka atau tempat mengundi berada jauh daripada sekolah mereka bertugas.

“Pentadbiran sekolah perlu melihat keselesaan dan keselamatan guru balik ke kampung halaman mereka mahu menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara yang layak mengundi mengikut perlembagaan.

“Mereka lazimnya mengambil cuti itu satu hari sebelum mengundi dan terus balik ke sekolah tempat bertugas selepas mengundi.

“Saya difahamkan ada guru sudah membeli tiket bas balik ke kampung untuk mengundi dan perjalanan kembali ke sekolah. Sayang sekiranya mereka tidak dibenarkan mengambil cuti rehat khas berkenaan,” katanya ketika dihubungi NSTP di Jerantut, hari ini.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Anuar Hussin berkata, kerajaan memang menggalakkan warganegara yang layak untuk keluar mengundi.

“Kerajaan berkempen setiap hari di media cetak dan elektronik supaya rakyat layak untuk keluar mengundi.

“Jadi pihak pentadbiran sekolah pun harus beri kerjasama, kita menasihatkan guru ingin memohon cuti itu menyertakan dokumen seperti penyata tempat mengundi sebagai bukti,” katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 12:51pm
d