mutakhir

Mayat tersangkut dalam longkang

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

WANITA dipercayai terjun dari apartmen di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, sebelum mayatnya dijumpai tersangkut di dalam longkang di hadapan blok kediaman itu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi, mangsa berusia 40-an dikatakan terjun dari tingkat atas blok terbabit untuk membunuh diri.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Alimaddia Bukri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.52 pagi.

“Seramai enam pegawai serta anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati ada mayat seorang wanita di dalam longkang di hadapan blok kediaman terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alimaddia berkata, berdasarkan keterangan saksi, mangsa yang juga penghuni di apartmen itu dipercayai terjun dari tingkat atas blok terbabit untuk membunuh diri.

“Mayat mangsa terjatuh ke dalam longkang berkenaan. Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersangkut di dalam longkang itu.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 1:35pm
d