mutakhir

Mayat dua mangsa bot karam ditemui

Oleh Shahrinnahar Latib

MAYAT dua warga China yang terbabit dalam kejadian bot karam berhampiran Empangan Kobat di Indera Mahkota, dekat Kuantan, semalam ditemui hari ini.

Mayat mangsa dikenali Chen Xi ditemui pada 9.33 pagi manakala rakannya, Ren Cheng ditemui 30 minit kemudian oleh pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dianggotai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta polis.

Timbalan Pengarah JBPM Pahang, Mohd Sani Harul berkata, mangsa masing-masing berusia 29 tahun ditemui kira-kira 20 meter dari tempat bot karam.

“Mangsa ditemui anggota SAR yang melakukan pencarian sehingga jarak 300 meter dari tempat mangsa hilang dan mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

“Pusat operasi kini ditutup selepas pencarian mangsa dilakukan sejak jam 4.35 petang semalam,” katanya, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa menaiki bot berkenaan bersama dua lagi rakan mereka yang juga warga China dikenali Duan Feng, Zhang Jian Zheng dan pemandu bot warga tempatan, Mohd Yusdi Mohd Yusof.

Difahamkan ketika kejadian semua mangsa sedang melakukan lawatan kerja ke kawasan empangan itu sebelum bot gentian kaca dinaiki mereka itu karam.

Feng, Jian Zheng serta Mohd Yusdi berjaya menyelamatkan diri dan menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan bagi mencari dua rakan mereka yang dikhuatiri lemas.

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 3:05pm
d