mutakhir

Zahid luang masa ziarah rakan

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

“SAYA ‘jumpa’ dia selalu dalam tv (televisyen) saja. Ini baru dapat jumpa betul-betul (bersemuka) selepas bertahun-tahun,” kata Ong Wan Heng, 61, kenalan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ong menerima kejutan apabila Timbalan Perdana Menteri itu melawat dia sekeluarga di rumahnya di Kampung Batu 24, Simpang Tiga, Bagan Datuk, hari ini.

Ahmad Zahid meluangkan masa bertanya khabar dengan Ong yang patah kaki sejak dua tahun lalu.

Beliau juga menyumbang alat bantu jalan (walker) untuk kemudahan Ong.

Ong berkata, pemimpin itu dikenalinya sejak kecil dan mendiang bapanya, Ong Kim Seong yang dikenali orang kampung sebagai Abi adalah kenalan keluarga Ahmad Zahid.

“Mendiang bapa saya jual ais krim di kampung ini dulu, dan Datuk Zahid pun mengenalinya. Dia dulu-dulu selalu beli ais krim dengan bapa.

“Selepas bapa mati, saya teruskan perniagaan itu dan kini, anak pula sambung disebabkan saya patah kaki,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid turut menziarahi rakan lamanya Fuad Kamal Mat Teridi, 62, yang menderita angin ahmar dan terlantar sejak tiga bulan lalu.

Mereka sempat mengimbas kenangan ketika sama-sama menyertai Pemuda UMNO.

Sebelum itu, Ahmad Zahid meluangkan masa 20 minit untuk bersarapan dengan penduduk di Kedai Kopi Pekan Selekoh.

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 5:33pm
d