mutakhir

Panjat bumbung, acu parang ke arah polis

Oleh Mohd Hilmie Hussin

POLIS menahan tiga lelaki ahli Geng Kait selepas dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di sekitar Merlimau, Jasin, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata tangkapan awal membabitkan dua suspek berusia 23 dan 27 tahun yang ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di Taman Pulai Indah, Merlimau, pada 6.30 petang Rabu lalu hasil maklumat awam.

“Ketika dua suspek dikenali Mat Tajam dan Angah itu ditahan, seorang daripadanya cuba melepaskan diri dengan melarikan diri ke atas bumbung rumah di kawasan kejiranan terbabit.

“Suspek memegang sebilah parang dan mengacukan ke arah polis, bagaimanapun dia berjaya ditangkap hasil bantuan penduduk setempat.

“Suspek yang cedera di bahagian lutut dan tapak kaki selepas terjun dari bumbung rumah untuk melarikan diri kemudian dihantar ke Hospital Jasin sebagai pesakit luar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arshad berkata, susulan penahanan dua suspek itu, polis menahan seorang lagi suspek dikenali Wan berusia 27 tahun di Sungai Rambai.

“Hasil soal siasat, sebilah parang dan seutas jam tangan jenama G-Shock yang dilaporkan hilang pada 26 Januari lalu di Taman Muhibah, Merlimau turut dirampas.

“Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah di Merlimau hasil penahanan ketiga-tiga suspek dan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Methemphetamine, selain turut mempunyai rekod jenayah lalu berkaitan dadah, samun dan curi motosikal,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 akta sama kerana ugutan jenayah.

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 5:49pm
d