mutakhir

Kibar Jalur Gemilang konon...

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

CUBAAN dua bot nelayan Vietnam menyamar sebagai nelayan tempatan dengan mengibarkan Jalur Gemilang bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.

Dalam tangkapan pada 2.30 petang dan 5.08 petang itu, Maritim Malaysia Daerah Maritim 9 (DM9) Kuala Terengganu turut menahan 20 nelayan berusia antara 22 hingga 51 tahun membabitkan nilai rampasan bernilai RM2 juta.

Pengarah Maritim DM9 Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, dua bot berkenaan ditahan kapal maritim yang sedang melakukan rondaan pada kedudukan 38 dan 44 batu nautika dari muara Kuala Terengganu ketika asyik menunda pukat.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot pertama, kami menahan 12 nelayan Vietnam termasuk tekong berusia 35 tahun manakala lapan lagi nelayan termasuk tekong berusia 46 tahun di dalam bot kedua.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan tidak mempunyai lesen serta permit sah untuk menangkap ikan di perairan negara.

“Pemeriksaan mendapati hanya tiga daripada 20 yang ditahan mempunyai dokumen pengenalan diri manakala selebihnya gagal mengemukakan dokumen,” katanya.

Rahim berkata, pihaknya turut merampas hasil tangkapan laut, diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM2 juta.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke jeti DM9 untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia; Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 14 (3) akta sama dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pengenalan diri yang sah.

“Kita sentiasa melakukan rondaan berkala bagi memastikan perairan negara kita tidak dimasuki nelayan asing, sekali gus melindungi khazanah yang ada di perairan Malaysia.

“Kerjasama semua pihak terutama nelayan tempatan diperlukan dalam melaporkan kegiatan nelayan asing ini bagi mengelak mereka mengaut keuntungan dengan menceroboh perairan negara,” katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 6:02pm
d