mutakhir

16 keluarga terpaksa pindah sementara

Oleh Nur Saliawati Salberi

SERAMAI 88 keluarga di Sungai Rambai, Jasin terjejas apabila kediaman mereka mengalami kerosakan selepas dilanda ribut, pada 6 petang hari ini.

Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Datuk Hasan Abdul Rahman, berkata kejadian berlaku ketika hujan lebat dan angin kencang.

Beliau berkata, beberapa kampung dan taman perumahan termasuk Taman Batu Gajah Pasir, Taman Sungai Rambai Mutiara, Kampung Parit Putat dan Kampung Parit Sialang terjejas, selain ada beberapa kawasan turut terputus bekalan elektrik.

“Akibat kejadian ini, lebih 10 rumah mengalami kerosakan teruk antaranya bumbung dan beranda diterbangkan angin.

“Disebabkan keadaan itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah pada 8 malam tadi,” katanya yang ditemui ketika melawat mangsa.

Hasan yang juga penyandang kerusi berkenaan berkata, sehingga 8.45 malam tadi, seramai 16 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan berkenaan.

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 10:22pm
d