mutakhir

DCA siasat dakwaan pesawat Tun M disabotaj

Oleh HM Digital

KERAJAAN mengarahkan siasatan berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pesawat yang mahu dinaikinya untuk ke Langkawi, petang semalam, mungkin disabotaj.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sudah diarahkan untuk menyiasat dakwaan itu.

“Ini adalah dakwaan yang amat serius, kita memandangnya dengan serius.

“Pada masa sama, kita berharap, ia bukan ‘political stunt’ (sandiwara politik). Ini bukanlah perkara yang boleh digunakan untuk eksploitasi politik,” katanya.

Liow berkata, juruterbang dan pemilik jet persendirian terbabit akan dipanggil memberi keterangan.

“Ini adalah perkara yang serius di mana ia berkait rapat dengan keselamatan penerbangan dan kami tidak mahu mana-mana individu ragu-ragu terhadap standard dan pematuhan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, setakat ini, tiada laporan diterima daripada juruterbang pesawat berkenaan.

Ketika menghadiri Program Hi-Tea Wanita pakatan pembangkang Bersama Komuniti Cina dan India Langkawi di pulau itu petang semalam berkata, Dr Mahathir mendakwa, ada pihak cuba mensabotaj perjalanannya dari Subang ke Langkawi, sebagai usaha menghalang beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, pesawatnya mengalami kerosakan dan terpaksa mencari pesawat ganti bagi membawanya ke Langkawi.

Beliau kemudian meminjam pesawat milik salah seorang rakannya dan berjaya tiba di Langkawi bagi menghadiri majlis berkenaan.

Disiarkan pada: April 28, 2018 @ 12:20am
d