mutakhir

Perjanjian alam Tanah Bencah

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Setiu: Khazanah alam bernilai tinggi yang tersimpan utuh di Tanah Bencah Setiu, di sini, umpama lubuk emas bagi pencinta alam.

Semakin dikaji khazanahnya semakin banyak penemuan pelbagai spesies hidupan terancam di dunia boleh ditemui di sini.

Keindahan dan kehijauan flora serta fauna yang ada mampu memukau pandangan sesiapa saja yang berkunjung di sini.

Bunyi kocakan air ketika bot menyelusuri sungai, sewaktu wartawan berpeluang menyertai ekspedisi di Tanah Bencah Setiu bersama Petronas dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), berserta desiran angin laut bertiup perlahan memberi rasa ketenangan yang amat mengasyikkan jiwa.

Memiliki sembilan ekosistem yang saling berhubung terdiri daripada pesisir pantai, muara sungai, paya bakau, dataran berlumpur, laguna, sungai, kerangas, paya gelam dan tasik berombak air tawar begitu mempesonakan.

Bertambah unik apabila ia menjadi satu-satunya lokasi yang mempunyai sembilan ekosistem, sekali gus dalam satu kawasan di Malaysia.

Bagi memastikan keindahan alam terus terpelihara, sebahagian kawasan Tanah Bencah Setiu diwartakan sebagai Taman Negeri untuk tujuan ekopelancongan.

Ketua Stesen Penyelidikan Tanah Bencah Setiu UMT Dr Jarina Mohd Jani berkata, terdapat kepelbagaian fauna terdiri daripada 29 spesies mamalia, 36 spesies reptilia dan amfibia, 161 spesies burung dan 32 spesies ikan di situ.

“Tanah Bencah Setiu adalah tempat paling sesuai untuk belajar perhubungan antara manusia dengan alam sekitar dan kelangsungan hidup masyarakat,” katanya.

Pensyarah Kanan Program Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti UMT Dr Rohani Shahrudin berkata, satu daripada spesies flora iaitu Berus Mata Buaya (Bruguiera hainesii) yang ditemui di Pulau Layat termasuk dalam senarai merah International Union for the Protection of Nature (IUCN).

“Hasil kajian yang dilakukan sejak 2014 terdapat empat induk spesies ini ditemui di sini dipercayai berumur lebih 10 tahun.

“Negeri lain yang dilaporkan turut ditemui spesies ini adalah Perak, Kedah (Langkawi), Pahang dan Johor.

“Walaupun tumbuhan ini berbunga sekitar Jun dan Julai, namun bunganya itu mudah gugur hingga mengganggu proses pembiakannya.

“Antara faktor lain adalah anak benihnya turut menjadi sasaran ketam yang menggemarinya,” katanya.

Rohani berkata, satu lagi spesies flora unik ada di sini terdapat banyak pokok kepala beruk (Hydnophytum formicarum dari famili Rubiaceae) atau juga dikenali sebagai pokok sarang semut yang ditemui di Pulau Telaga Tujuh.

“Pokok kepala beruk sudah ditemui lama oleh orang kampung, cuma penyelidik memulakan kajian mengenai spesies itu bermula 2015,” katanya.

“Kewujudan banyak pokok menumpang yang dipercayai mampu merawat kanser ini membuktikan kawasan Tanah Bencah Setiu masih terpelihara daripada sebarang pencemaran.

“Walaupun ditemui dalam jumlah yang banyak, jika tidak dijaga ia boleh terdedah kepada ancaman kepupusan seperti di Singapura yang mana spesies ini tersenarai antara yang terancam di negara ini,” katanya.

Bagi memastikan kelestarian alam semulajadi itu, Petronas memperuntukkan RM8 juta melalui program Pelaburan Sosial Korporat untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di Tanah Bencah Setiu.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata, tiga fokus utama program adalah pemuliharaan alam sekitar, pembangunan komuniti dan pendidikan.

Katanya, peruntukan yang disalurkan itu meliputi dua skop melalui pembangunan infrastruktur membabitkan lima fasiliti dengan kos RM6 juta serta pembangunan komuniti sebanyak RM2 juta.

“Lima fasiliti itu adalah menaiktaraf laluan pejalan kaki (boardwalk) sepanjang 550 meter yang siap pada November 2016 di Pengkalan Gelap dirasmikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 12 Februari lalu, membina pusat penerangan di Kampung Mangkuk, membina empat jeti terapung di pulau kecil bagi kemudahan pelancong serta tujuan penyelidikan.

“Selain itu, kita juga menaik taraf jeti pelancong di Kampung Mangkuk dan jeti nelayan di Kampung Gong Batu,” katanya.

Wan Mohd Hasnan berkata, pelbagai projek bagi meningkatkan ekonomi masyarakat setempat dirangka di bawah program pembangunan komuniti.

“Antaranya melatih penduduk tempatan menjadi pemandu pelancong, menganjurkan kursus pengusaha inap desa dengan jalinan kerjasama antara Pejabat Daerah Setiu dan UMT.

“Projek lain termasuk menaik taraf produk tempatan serta membuat penjenamaan produk, membantu dari segi jualan dan pemasaran,” katanya.

Sementara itu, Penolong Jurutera Kanan Majlis Daerah Setiu (MDS) Mohd Shamsuri Mohamad berkata, empat jeti terapung di empat pulau kecil sekitar Tanah Bencah Setiu dijangka siap pada awal tahun depan.

“Dua jeti iaitu di Pulau Gemia dan Pulau Ubi untuk kemudahan penduduk setempat dan pelancong melakukan aktiviti mencari kepah.

“Manakala dua lagi jeti di Pulau Layat dan Pulau Telaga Tujuh khusus untuk pengkaji dan pelajar ke pulau itu bagi melakukan penyelidikan ,” katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2018 @ 4:55am
d