mutakhir

Sebelum subuh dah 'terpacak'

Oleh Mohd Hasbi Sidek

SEAWAL 4.30 anggota polis sudah ‘terpacak’ di lokasi penamaan calon di sekitar ibu kota sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kejadian tidak diingini sempena penamaan calon Pilihanraya Umum 14 (PRU 14), hari ini.

Tinjauan wartawan NSTP di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Jalan Kampung Pandan, Desa Pandan, dekat sini, mendapati Jalan Kampung Pandan turut ditutup kepada orang awam.

Difahamkan, semua unit dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pasukan Gempur Ringan (LSF), Unit Anjing Pengesan (K9), Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dikerahkan untuk bersedia.

Kelihatan juga anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkusaaan Trafik (JSPT) menjaga lalu-lintas selain mengawal jalan yang ditutup.

Seramai 2,693 anggota polis ditempatkan di 12 pusat penamaan calon sekitar ibu kota dan daripada jumlah itu, 361 terdiri daripada pegawai polis, 2,303 anggota polis dan 29 kakitangan awam polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim sebelum ini dilaporkan berkata, pihak polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu ketenteraman awam.

Beliau mengingatkan semua calon untuk tiba lebih awal di pusat pencalonan kerana mereka hanya mempunyai satu jam untuk mendaftar.

Pusat penamaan calon di SMK Aminuddin Baki bakal mengumumkan calon bagi Parlimen Titiwangsa.

Disiarkan pada: April 28, 2018 @ 9:46am
d