mutakhir

Raja Bomoh tak bertanding

Oleh Shaarani Ismail dan Zahratulhayat Mat Arif

RAJA Bomoh, Ibrahim Mat Zin yang sebelum ini berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk menentang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi, tidak hadir bagi menyerahkan borang pencalonannya di pusat penamaan calon di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk (SABDA).

Sehingga masa untuk menyerahkan borang pencalonan diumumkan, Pengurus Pilihan Raya P075 Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin mengumumkan hanya calon Barisan Nasional (BN), PAS dan PKR yang datang menyerahlan borang pencalonan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada sidang media selepas menyerahkan borang pencalonannya turut mengesahkan perkara itu dan menjelaskan bahawa pihaknya dimaklumkan bahawa Ibrahim tidak layak bertanding kerana muflis.

"Ibrahim Mat Zin tidak boleh bertanding kerana bankrup dan dia tidak layak untuk menyerahkan borang pencalonan.

"Saya sebelum ini mengalu-alukan beliau (Ibrahim) untuk bertanding kerana lebih ramai calon lebih meriah kerana ini demokrasi. Kita menunggu kehadirannya tetapi saya diberitahu beliau ada kes muflis dan ia adalah tanggungjawabnya sendiri," katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2018 @ 12:46pm
d