mutakhir

2 calon wanita rebut Parlimen Pengerang

Oleh Nor Azizah Mokhtar

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan pencabar baharu daripada PKR, Norliza Ngadiran, bagi kerusi Parlimen Pengerang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kali ini.

Pengesahan pencalonan mereka diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pengerang, Bukhari Abdul Rahman pada 11.30 pagi tadi.

Terdahulu, Azalina yang juga penyandang kerusi itu selama tiga penggal sejak 2004 menyerahkan kertas penamaan calon beliau di pusat penamaan calon di Dewan Bandaran Bandar Penawar pada 9.08 pagi, manakala lawannya mengemukakan kertas pencalonan pada 9.06 pagi.

Dalam pada itu, lebih 1,000 penyokong berkumpul menyokong calon BN, manakala kira-kira 100 lagi menyokong calon pembangkang.

Pada PRU-13, Azalina memperoleh 26,992 undi iaitu menang dengan majoriti besar 22,508 undi, berbanding lawannya, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Dayangku Intan mewakili PKR mendapat 4,484 undi, manakala calon bebas, Mohd Azaman Johari mendapat 795 undi.

Sementara itu, dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Pengerang turut menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dan pembangkang.

Bagi kerusi N38 DUN Penawar, calon BN, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain akan ditentang calon Ahmad Kamah Nor dari PKR, manakala di kerusi N39 DUN Tanjung Surat, Datuk Syed Sis A Rahman (BN) dicabar calon calon PKR, Dr Zamil Najwah Arbain.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Johor adalah muka baharu yang ditampilkan BN, manakala Syed Sis adalah penyandang kerusi DUN Tanjung Surat.

Disiarkan pada: April 28, 2018 @ 1:57pm
d