mutakhir

Anak kembar tak jejas Zizie berkempen

Oleh Hayati Nasrah

“SAYA akan berkampung di sini untuk membantu suami berkempen,” kata pelakon popular, Zizie Ezette yang ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan, hari ini.

Kehadiran isteri calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin itu mencuri tumpuan penyokong parti bertanding tidak kira daripada BN mahupun pembangkang, selain ramai mengambil peluang untuk bergambar.

Seawal 9 pagi lagi, Zizie turun bersorak bersama penyokong BN dengan laungan ‘Tatap BN’ ketika Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan bersama calon lain daripada BN tiba di pusat penamaan calon.

Walaupun kini mempunyai masa terhad kerana menjaga anak kembar, Zizie menganggap ia bukan halangan untuk memberi sokongan kepada suami sepanjang tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya akan terus memberikan sokongan padu kepada suami. Saya akan berkampung di sini untuk menemaninya dan membantu beliau berkempen.

“Ia tidak berubah seperti lima tahun lalu. Walaupun kini saya menjaga anak kembar, Insya-Allah itu tidak menghalang saya untuk berkempen bersamanya,” katanya.

Zizie akan menyertai rombongan iparnya untuk berkempen dari kampung ke kampung bagi mendekati rakyat khususnya di Kinabatangan.

“Sebagai isteri, tentu saya mengharapkan kemenangan berpihak kepada suami,” katanya yang menyifatkan kerajaan BN banyak membantu dalam meningkatkan lagi tahap industri seni tanah air.

Pada PRU-14 ini, Bung Moktar yang juga Pengerusi FELCRA Berhad akan berdepan saingan tiga penjuru dengan calon Parti Harapan Rakyat Sabah (HARAPAN RAKYAT), Mustapa Dato Tambuyong dan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), MA Ghazali Abdul Ghani.

Disiarkan pada: April 28, 2018 @ 5:28pm
d