mutakhir

Bumbung bas ekspres 'rongak'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

BUMBUNG sebuah bas ekspres dua tingkat tercabut ketika melalui laluan bawah jejambat di Jalan Tun H S Lee menghala ke Lebuhraya Persekutuan, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian pada 6.10 petang, bas terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Jalan Tun H S Lee menuju ke arah ke Jalan Duta.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, ketika kejadian, tiada penumpang di dalam bas berkenaan.

“Ketika pemandu lelaki melalui laluan bawah jejambat berkenaan, tiba-tiba dia terdengar bunyi pelanggaran dari bahagian atas bas terbabit.

“Sebaik pemandu itu turun, dia mendapati bahagian atas bas terbabit melanggar konkrit jejambat berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pemandu bas terbabit tidak mengalami kecederaan, namun terdapat kerosakan pada bahagian atas termasuk tempat duduk penumpang, cermin depan dan tingkap kiri serta kanan selain bumbung.

“Kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai hingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2018 @ 9:11pm
d