mutakhir

Juara ditentukan esok

Oleh Yusliza Yakimir Abdul Talib

BAHANG kehangatan Jaguh Dapur Harian Metro-Kimball kian terasa apabila lima peserta berjaya melangkah ke pusingan akhir, esok.

Mereka adalah Mohd Hilmi Mohamad Alias Ahmad (spageti masam manis pedas udang butter), Muhammad Falihin Jasmi ('deconstructed' labu masak lemak udang mayonis Kimball), Chan Hee Mooi (spageti sushi Kimball), Horiyah Salleh (talam labu berlauk cendawan Kimball) dan Amy Norina Jamil (ayam rendang Minang).

Pertandingan separuh akhir yang berlangsung di Giant, Kota Damansara, hari ini menampilkan 10 peserta yang terpilih ke peringkat separuh akhir daripada 25 pemenang mingguan.

Peserta mempertaruhkan resipi ciptaan sendiri menggunakan rangkaian produk sos Kimball sama ada sos cili, sos tomato, sos berperisa tiram atau mayonis sebagai rencah masakan.

Pertandingan itu diadili empat juri iaitu Cef Norzailina Nordin, Cef Fikree Adnan, Pengarang Bersekutu Digital dan Rencana Harian Metro Husain Jahit serta Pengurus Kategori Pemasaran Kimball Tania Lee.

Untuk saringan pertandingan separuh akhir, sebanyak dua sesi diadakan di mana peserta perlu menyediakan hidangan berdasarkan resipi yang dihantar untuk dinilai oleh juri bagi merebut lima tempat ke peringkat akhir.

Manakala pada peringkat akhir pula, finalis akan diuji kreativiti mereka dengan menghasilkan resipi istimewa secara spontan menggunakan ramuan yang dirahsiakan dan hanya akan diketahui sebaik bermulanya pertandingan.

Juara bakal membawa pulang wang tunai RM10,000 bersama plak, bekalan produk Kimball untuk setahun dan berpeluang menyumbang resipi sendiri di seksyen Hati akhbar Harian Metro.

Manakala naib juara akan memenangi wang tunai RM5,000 bersama plak dan

bekalan produk Kimball untuk tiga bulan.

Hadiah tempat ketiga merangkumi RM3,000 dan plak serta bekalan produk Kimball selama sebulan. Hadiah tempat keempat dan kelima berupa wang tunai RM500 berserta hamper Kimball

Pertandingan ini dijayakan dengan kerjasama Kimball selaku penaja utama serta rakan penaja Petronas dan Giant.

Sementara itu, hadiah pemenang sagu hati disampaikan oleh Ketua Bahagian Perniagaan Gas Petroleum Cecair Petronas Dagangan Berhad Ramzulhakim Ramli, Husain dan Tania.

Disiarkan pada: April 28, 2018 @ 10:19pm
d