mutakhir

Lari ikut pintu belakang

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Pengunjung disajikan persembahan catwalk di atas pentas sebelum diminta memilih wanita idaman dengan memberikan kalungan bunga.

Setiap wanita dipilih atau kalungan bunga diberikan pelanggan kepada pilihan mereka dikenakan bayaran antara RM100 dan RM300.

Itu tarikan disediakan kepada pengunjung di sebuah pusat hiburan elit di kawasan Solaris Mont Kiara di sini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Seri Mustafar Ali berkata, risikan dan pemantauan mendapati aktiviti tidak bermoral dilakukan dalam premis itu yang mengadakan majlis khas bertemakan Sexy Thai Kick Boxing seperti disambut di Thailand.

Katanya, hasil maklumat diperoleh, pihaknya melakukan serbuan di premis berkenaan dalam operasi dijalankan jam 3 pagi kelmarin membabitkan 20 pegawai daripada Unit Quick Response Team (QRT), Unit Operasi Khas, Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa JIM.

“Pusat hiburan elit itu menawarkan acara istimewa iaitu persembahan catwalk dan kalungan bunga sebagai daya penarik mendapatkan pelanggan untuk berhibur di premis berkenaan.

“Dalam operasi itu, kami melakukan pemeriksaan terhadap 53 individu yang berada di dalamnya dan menahan 28 individu terdiri daripada 21 wanita warga Thailand berusia lingkungan 20 tahun yang bekerja sebagai penari, penyanyi, pelayan pelanggan (GRO) selain tujuh lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 30 tahun yang juga pekerja premis.

“Kami turut menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai menyelia aktiviti tidak bermoral di pusat hiburan elit itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mustafar berkata, ketika serbuan beberapa GRO dan pekerja pusat hiburan itu cuba melarikan diri dengan menggunakan laluan rahsia dan pintu belakang premis, namun berjaya dihalang pegawai bertugas yang sudah mengepungnya.

“Pusat hiburan itu membuat beberapa pengubahsuaian pada pintu magnetik, laluan dan pintu keluar yang hanya boleh diakses dari dalam premis bagi mengelak serta melambatkan pergerakan pihak penguatkuasa ketika serbuan dilakukan.

“Pusat hiburan itu pernah diserbu tahun lalu namun masih menjalankan aktiviti sama bagi mengaut keuntungan lumayan. Hasil soal siasat mendapati wanita Thailand yang bekerja sebagai GRO boleh mendapatkan tip sehingga RM400 hingga RM500 dalam sehari.

“Mereka (GRO) memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial bagi tempoh 30 hari dan melakukan aktiviti itu untuk mengaut keuntungan lumayan dengan mudah dalam tempoh masa singkat,” katanya.

Beliau berkata, empat notis untuk hadir memberikan keterangan dikeluarkan kepada pekerja, juruwang, pengawal peribadi dan pelanggan yang berada dalam premis ketika serbuan dijalankan untuk membantu siasatan.

Disiarkan pada: April 29, 2018 @ 8:00am
d