mutakhir

Sah! Rody lega habis

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

Kuala Lumpur: “Sebaik saja jurunikah kata sah, terus hilang rasa gementar,” kata pemain gitar kumpulan Kristal, Rody, 31, selepas selamat diijabkabulkan dengan penjaga gol skuad futsal wanita kebangsaan, Nur Izwani Azman, 30, di sebuah hotel di Kulai, Johor, malam kelmarin.

Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah dan Cerai daerah Kulai, Nazlee Abdul Razak tepat jam 9 malam.

Rody atau nama sebenarnya Mohd Rodi Baharudin, ketika dihubungi berkata, dia bersyukur majlis yang berlangsung kelmarin berjalan lancar.

Nur Izwani atau mesra disapa Niena, menerima mas kahwin berjumlah RM111, manakala wang hantaran pula berjumlah RM11,111.11.

Pihak lelaki turut menyerahkan sebanyak tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan
oleh pihak perempuan.

Majlis persandingan mereka berlangsung di Dewan Raya Kulai, semalam.

“Majlis persandingan
di sebelah keluarga saya juga akan diadakan tetapi tarikhnya belum diputuskan. Mungkin lambat lagi.

“Paling penting, kami mahu dahulukan yang wajib (akad nikah) dan selesaikan majlis di sebelah pihak perempuan. Urusan lain kemudian pun tak mengapa,” katanya.

Rody dan Niena berkenalan selama enam bulan sebelum lamaran dibuat.

Rody melamar isterinya itu menerusi laman sosial Instagram pada September dan bertunang pada 4 November tahun lalu.

Disiarkan pada: April 29, 2018 @ 8:12am
d