mutakhir

Penjawat awam paling untung!

Oleh BERNAMA

SABAN tahun, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menerima jutaan permohonan daripada orang ramai untuk memohon pekerjaan dalam sektor perkhidmatan awam.

Malah pada 2016 sahaja, SPA menerima 1.56 juta permohonan bagi mengisi 25,046 kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh sektor yang dianggap sebagai tulang belakang dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan.

Persepsi ‘kerja kerajaan gaji kecil’ tidak lagi menghantui graduan lepasan universiti untuk memilih sektor ini sebagai kerjaya, lebih-lebih lagi apabila kerajaan memperkenalkan pelbagai kemudahan dan insentif dalam memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa diutamakan.

Imbuhan demi imbuhan terus diperkenalkan merangkumi kemudahan pelbagai jenis cuti, kenaikan gaji tahunan, kemudahan kesihatan, skim perumahan bagi penjawat awam dan bantuan pendidikan yang menjadikan penjawat awam kini antara individu paling bertuah.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda berkata, transformasi yang berlaku dalam perkhidmatan awam ketika ini disebabkan dasar tiga pihak yang diamalkan kerajaan yang membolehkan rundingan antara majikan, kerajaan dan pekerja berlangsung dalam suasana harmoni.

Azih berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini sentiasa bersedia mendengar hasrat majikan dan penjawat awam, seterusnya menimbang permintaan itu selaras dengan keperluan dan kemampuan kewangan negara.

“Memandangkan kestabilan ekonomi kita jauh lebih baik daripada dulu serta dasar-dasar negara yang konsisten membolehkan kerajaan melakukan penambahbaikan dalam sektor awam khususnya sejak lima tahun lalu.

“Penambahbaikan yang dilihat tahun demi tahun seperti kenaikan gaji yang kadangkala dua kali setahun, sistem persaraan dan kemudahan pelbagai cuti antara sebab yang menarik minat graduan pelbagai bangsa bersaing untuk mendapat tempat dalam sektor perkhidmatan awam,” katanya kepada Bernama.

Jika diamati, gaya hidup penjawat awam kini juga berubah dengan pantas apabila mereka dilihat mampu membeli kenderaan dan memiliki kediaman sendiri hanya dalam tempoh tiga hingga lima tahun perkhidmatan, katanya.

“Kalau era 70-an, banyak institusi kewangan kurang percaya kepada penjawat awam kerana gaji yang kecil, jadi ramai antara mereka hanya mampu membeli kereta terpakai atau menunggu bertahun-tahun untuk membeli kereta baharu,” katanya.

“Kini walaupun gaji tidak banyak, ia cukup kompetitif untuk survival. Malah dengan kenaikan gaji setiap tahun dan sistem potongan teratur, pihak bank kini lebih percaya untuk memberi pinjaman sehinggakan penjawat awam diberi kelebihan tidak perlu membayar deposit atau mencari penjamin,” katanya.

Bagaimanapun Azih menganggap penjawat awam memegang amanah yang besar dan peluang keemasan yang diberikan untuk menjawat jawatan dalam sektor kerajaan perlu digunakan sebaik mungkin bagi menabur bakti kepada rakyat dan negara.

Disiarkan pada: April 29, 2018 @ 11:04am
d