mutakhir

Pecat 12 ahli kecewa

Oleh Embun Majid

MCA hari ini mengumumkan pemecatan serta-merta 12 ahlinya termasuk tujuh yang bertanding sebagai calon pakatan pembangkang, selain calon Bebas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Lembaga Disiplin MCA, Tan Sri Chor Chee Heung, membabitkan sembilan ahli di Johor, dua di Perak dan satu lagi di Kedah.

Di Johor, empat daripada sembilan yang dipecat ialah Ting Chong Chai dan Lim Yak Hong yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, selain Tee Boon Tsong (Calon DAP DUN Senai) dan Ng Yak Howe (calon DAP DUN Bentayan).

Baki lima lagi ialah Choon Kai Ling, Chew Mui Mui, Ng Lee Chu, Lam Tau Lai dan Thin Meau Guey yang masing-masing bertindak sebagai pencadang dan penyokong kepada calon berkenaan.

Di Perak pula, pemecatan membabitkan Chin Kwai Leong dan Chin Kwai Heng yang masing-masing bertanding atas tiket Parti Sosialis Malaysia (PSM) di DUN Menglembu dan Tronoh, manakala satu lagi, Yeo Keng Chuan yang menjadi calon PKR di DUN Kulim.

Chor berkata, tindakan pemecatan itu diambil mengikut Artikel 124(1) Perlembagaan MCA selepas semua 12 ahli terbabit didapati bertindak bertentangan dengan ketetapan parti.

“Selepas penamaan calon semalam, majlis presiden merujuk nama 12 ahli terbabit kepada lembaga disiplin parti selepas didapati melanggar peraturan Perlembagaan MCA.

“Susulan itu, satu mesyuarat tergempar diadakan lembaga disiplin malam tadi, sebelum bukti dikemuka dan memutuskan semua 12 ahli berkenaan melanggar Artikel 122 Perlembagaan MCA.

“Justeru, lembaga disiplin mencadangkan supaya semua 12 ahli terbabit dipecat serta-merta, yang kemudian dipersetujui majlis presiden parti,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Chor berkata, lembaga disiplin mendapati tujuh ahli yang bertanding sebagai calon pakatan pembangkang atau calon Bebas itu tidak bersetuju apabila mereka tidak terpilih sebagai calon PRU-14.

“Keputusan dibuat kepemimpinan parti termasuk dalam soal penetapan calon untuk PRU-14 adalah muktamad dan jika ada cadangan atau rayuan, ia juga harus dibuat secara dalaman melalui saluran parti,” katanya mengesahkan tidak menerima sebarang rayuan daripada 12 nama terbabit sehingga kini.

Disiarkan pada: April 29, 2018 @ 1:27pm
d