mutakhir

Kempen cara bijak

Oleh Mohamed Farid Noh

Batu Pahat: Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengingatkan wanita BN supaya tidak mengikut jejak kempen pembangkang yang hanya berkisar mengenai fitnah dan berita palsu.

Katanya, semua jentera sebaliknya diminta menyampaikan serta menyalurkan kebijaksanaan selain rekod cemerlang BN dalam mengurus negara.

“Saya dah pesan kepada jentera kita jangan ikut pembangkang, kita tak mahu ada unsur fitnah, berita palsu dan tohmahan,” katanya pada sidang media selepas penamaan calon, semalam.

Beliau hadir memberikan sokongan kepada calon BN bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Maktab Rendah Sains MARA (MARA) Batu Pahat, di Parit Sulong, dekat sini, menceriakan 2,500 penyokong.

Shahrizat yang tiba seawal jam 8.30 pagi bersama calon Parlimen Parit Sulong Datuk Dr Noraini Ahmad menerima tepukan dan sorakan penyokong yang melaungkan slogan Hidup BN.

Turut bersama Shahrizat dan Noraini adalah calon BN bagi DUN Semerah Ismail Roslan dan calon BN bagi DUN Sri Medan Datuk Zulkurnain Kamisan.

Shahrizat turut mengambil peluang bermesra dengan penyokong yang hadir selain memberikan kata-kata semangat kepada mereka.

Disiarkan pada: April 29, 2018 @ 1:49pm
d