mutakhir

Labour Day Run & Ride meriah

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

HAMPIR 8,000 peserta terdiri daripada kakitangan awam dan swasta bersama keluarga masing-masing menyertai aktiviti sihat larian dan kayuhan basikal 'Labour Day Run & Ride' bermula di Dataran Putrajaya, Presint 3, Putrajaya, hari ini.

Acara berkenaan satu daripada aktiviti Hari Pekerja membabitkan empat kategori iaitu kayuhan 20 kilometer (km) dan 40 km manakala, larian terdiri daripada lima dan 10 km serta anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kementerian Sumber Manusia.

Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, program itu bertujuan memberi kesedaran mengenai kepentingan melakukan aktiviti sihat, sekali gus meningkatkan kesihatan dan produktiviti pekerja kepada syarikat dan negara.

"Mengikut statistik PERKESO, ramai pekerja menghadapi penyakit tidak berjangkit, jadi PERKESO terpanggil untuk memberi kesedaran serta bukan hanya melaksanakan tanggungjawab bila orang tidak sihat, lumpuh atau kematian.

"Malah, tuntutan membabitkan penyakit tidak berjangkit ini menjangkau 15,000 setahun dan separuh daripadanya membabitkan kematian termasuk kematian mengejut akibat penyakit jantung selain masalah hilang upaya sehingga tidak boleh bekerja dan memerlukan pemulihan," katanya.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Dr Mohd Ghazali Abas dan Pengerusi PERKESO Tan Sri Aseh Che Mat.

Turut hadir Pengarah UrusanKumpulan Media Prima Berhad (Media Prima), Datuk Kamal Khalid; Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Johan Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar; dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul.

Pada program itu, Media Prima menerima penghargaan kerana mencatatkan penyertaan kakitangan teramai diikuti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) manakala, ketiga tertinggi ialah SME Development Bank.

Disiarkan pada: April 29, 2018 @ 2:06pm
d