mutakhir

Mohd Hilmi juara Jaguh Dapur Harian Metro-Kimball [METROTV]

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

RESIPI Bergedil Kari Salsa Sos Mayonis dan Sotong Sumbat Kacang Kuda Cita Rasa Kimball yang disediakan Mohd Hilmi Mohamad Alias menobatkannya sebagai juara Jaguh Dapur Harian Metro-Kimball, hari ini.

Mohd Hilmi berjaya mengalahkan empat finalis lain saingan saingan pusingan akhir di Pasaraya Giant Kota Damansara, Petaling Jaya.

Kemenangan itu membolehkan Mohd Hilmi membawa pulang wang tunai RM10,000 bersama plak dan bekalan produk Kimball untuk setahun, baucer Petronas RM500 serta berpeluang menyumbang resipi ciptaannya dalam ruangan Hati Harian Metro.

Naib juara dimenangi oleh Chan Hee Mooi dengan resipi Kimball Happy Family dan Kimball Spring Platter yang membawa pulang wang tunai RM5,000 bersama plak, bekalan produk Kimball selama tiga bulan dan baucer Petronas RM500.

Tempat ketiga dimenangi Amy Norina Jamil dengan resipi Kerabu Keledek Bersama Mangga & Mayonis Kimball, dan Ayam Panggang Bersama Sos Lada Mayonis & Tauhu Sos Tiram sekali gus menggondol wang tunai RM3,000, plak, bekalan produk Kimball selama sebulan dan baucer Petronas RM500.

Dua pemenang saguhati iaitu Muhammad Falihin Jasmi dan Horiyah Salleh menerima wang tunai RM500 serta produk Kimball.

Pengarang Eksekutif Harian Metro Tuan Mohd Asri Tuan Hussein berkata, beliau berbangga dengan kreativiti setiap finalis yang menunjukkan kebolehan seperti tukang masak profesional.

“Kami berharap dapat mengadakan pertandingan seperti ini pada tahun hadapan mengikut zon utara, selatan, timur dan tengah.

“Terima kasih diucapkan kepada penaja iaitu Kimball, Giant dan Petronas yang membolehkan acara ini diadakan dengan jayanya,” katanya.

Pusingan akhir itu diadili oleh empat juri iaitu Cef Norzailina Nordin, Cef Fikree Adnan, Tuan Mohd Asri dan Pengarah Pemasaran Campbell Soup Asia Tenggara Michelle Nunis.

Berita berkaitan

Juara ditentukan esok

Disiarkan pada: April 29, 2018 @ 8:16pm
d